Isnin, 17 Ogos 2020

Laksmana Sunan dan Sunan Wali Sembilan

Sejak kecil aku sering diperdengarkan dengan kewujudan Wali Songo... Siapa Wali Songo tu?? 

Jadi aku pun mencari informasi berkenaan wali songo ni. 

Wali itu bermaksud wakil dan songo itu bermaksud sembilan dalam bahasa jawa. Kenapa Sembilan aku pun tak tahu sebab mungkin pada masa tu sembilan orang ni kot yang memang famous. Wali songo ni datang ke Tanah Jawa pada abad ke 14. Terdapat 3 wilayah yang menjadi lokasi penyebaran dakwah wali songo iaitu Surabaya, Gresek, Lambongan ,Tuban(Jawa Timur). Demak, Kudus, Muria(Jawa Tengah dan Cirebon(Jawa Barat).

Masjid Demak adalah masjid pertama yang didirikan oleh Wali Songo di Tanah Jawa. Kalau korang perasan Wali Songo ni semua ada Sunan depan nama gelaran diorang. Dalam budaya Jawa Sunan ni bermaksud "Orang yang dihormati."

So kalau tak hairanlah Ramlee Awang Mursyid menggunakan gelaran ini untuk watak ciptaan nya iaitu Laksmana Sunan kerana Saifuddin tu belajar ilmu agama di Tanah Jawa dan berguru dengan Wali Sufi. Kalau diikutkan di dalam novel berkenaan juga dinyatakan bahawa Wali Sufi ini menuntut dengan Maulana Malik (Sunan Grisik)

Gambar Wali Songo

Apa yang menjadi persoalan aku adalah siapa yang melukis gambar wali songo ini. Kerana tiada bukti yang mencatatkan pelukis asal. Pada pandangan saya ia mungkin dilukis pada waktu itu oleh penduduk setempat. Pada masa itu fahaman hindu dan buddha masih kuat jadi mereka mempunyai sifat yang suka mengagung-agungkan sesuatu yang hebat jadi mereka melukis untuk dijadikan kenangan dan bukti ketibaan Islam di Tanah Jawa. Tidak boleh kata lukisan tu salah atau betul kerana semua di bawah kehendak Allah s.w.t. wallahualam.

Permulaan Wali Songo

Bermulanya penerokaan Ahli Sufi di Tanah Jawa adalah dengan kedatangan seorang tokoh Islam agung yang bernama Syeikh Jamadil Kubra. Beliau adalah seorang ahli sufi yang juga Ahlul Bait Rasulullah(Mempunyai susur galur Rasulullah) yang datang ke nusantara untuk berdakwah.

Kedatangannya diiringi oleh dua orang putera yang bernama Maulana Malik Ibrahim(Sunan Gresek) dan Maulana Ishak(ayah kepada Sunan Giri) Sheikh Jamadil Kubra menetap di Pulau Jawa manakala anaknya Sunan Gresek ke Champa dan Maulana Ishak ke Pasai Acheh. 

Sunan Gresek atau Maulana Malik Ibrahim


Sunan Gresek mengikuti bapanya ke Nusantara bersama saudara lelakinya Maulana Ishaq. Beliau mendiami Champa selama 13 tahun dan berkahwin dengan puteri raja di sana serta dikurniakan dua putera. Seorang daripadanya bernama Sayyid Ali Rahmatullah atau Raden Rahmat atau Sunan Ampel. Sunan Gresek pulang ke Jawa Timur untuk berniaga disamping berdakwah dengan penduduk di sekelilingnya. Beliau juga boleh bertani dan menjadi tabib.Dakwah beliau yang lemah lembut menambat hati mereka yang menganut agama hindu semasa itu untuk memeluk agama Islam. Golongan Vaisya dan Sundra iaitu golongan kasta bawahan Hindu amat tertarik dengan ajarannya manakala golongan Brahma, Ksyatria termasuk biksu-biksu Budha menjauhi ajaran beliau dan mereka berpindah ke Pulau Bali. Beliau pernah diundang ke istana untuk mengubadi isteri Raja Brawijaya Majapahit yang juga seorang puteri dari Champa. Beliau mendirikan sekolah pondok dan masjid untuk mengajar agama Islam. Ada sumber mengatakan beliau berasal daripada Samarqand, Uzbekistan dan meninggal di Gresik Indonesia.

Sunan Ampel atau Raden Rahmat Atau Sayyid Ali Rahmatullah


Sunan Ampel merupakan anak kepada Sunan Gresek dan menyebarkan ajaran Islam sehingga berdirinya Kerajaan Islam Demak. Beliau berkahwin dengan Nyi Gede Manila, anak perempuan kepada Kapten China di Tuban yang bernama Gan Eng Cu dan mendapat anak lelaki Sunan Bonang dan Sunan Drajat manakala anak perempuan bernama Syarifah yang kemudian berkahwin dnegan Sunan Ngudung dan mempunyai anak Sunan Kudus. Puterinya yang kedua menjadi isteri kepada Raden Patah iaitu Sultan Pertama Kerajaan Demak dan ibu kapada Trenggana(Sultan ke-3 Kerajaan Demak). Ada juga yang menyatakan anak perempuan Sunan Ampel yang bernama Raden Siti Murtassimah berkahwin dengan Sultan Ali Akabar Al Fatahillah bin Prabu Brawijaya dan mendapat anak bernama Raden Puteri Mas Nyawa atau Raden Puteri Gumilah Sari atau Puteri Siti Jamilah.. Haa macam kenal je nama ni kan?? Orang kita gelar Puteri Gunung Ledang. Nanti saya kupas pulak pasal Puteri Gunung Ledang ni di Entry lain yang ada bersangkutan dengan Wali Songo juga yea.. Sunan Ampel meninggal dunia pada 1481 dan dikebumikan di Masjed Ampel. 

Sunan Giri atau Raden Paku atau Muhammad Ainul Yakin

Beliau merupakan anak kepada Maulana Ishak bersama Dewi Sekardadu dan cucu kepada Sheikh Jamadil Kubra. Beliau lahir di Blanbangan(Banyuwangi) dan dijadikan anak angkat oleh Nyai Semboja. Beliau menuntut ilmu di sekolah yang didirikan oleh Sunan Ampel dan berkahwin dengan anaknya. Gelaran Giri itu adalah bermaksud bukit/gunung. Beliau memperluaskan ajaran Islam ke Lombok, Sulawesi dan Maluku. Membuka pusat pengajian yang bernama Kedaton Giri dan menyebarkan Islam melalui dunia kesenian. Pencitptaan pelbagai permainan kanak-kanak seperti Jelungan, Jemuran, Lir-lir dan Cublak Suwang dikaitkan dengan Sunan Giri. Begitu juga Gending Asmaradana dan Pucung. 

Sunan Bonang atau Raden Makdum Ibrahim

Beliau merupakan anak kepada Sunan Ampel dan adik beradik dengan Sunan Drajat. Mempunyai darah keturunan China (cucu Gan Eng Cu) dan Majapahit (Cucu puteri Champa). Beliau berazam untuk menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan orang Jawa dengan kesenian dan kebudayaan. Beliau mengubah lagu lagu tradisional Jawa yang sangat dipengaruhi oleh falsafah Hindu dengan menggabungkan dengan pemikiran Islam. Gamelan juga digunakan dalam media pembelajaran Islam dan salah satu ajarannya adalah Tombo Atim yang secara tersiratnya bermaksud " Penyembuhan Hati". Beliau meninggal dunia pada 1525 di Pulau Bawean. 

Sunan Drajat atau Raden Qasim


Beliau merupakan adik beradik dengan Sunan Bonang dan anak kepada Sunan Ampel. Lahir pada 1470 dan mendapat gelaran Sunan Mayang madu oleh Raden Patah(Sultan Demak Pertama). Seperti saudaranya Sunan Bonang beliau berdakwah dengan menggunakan karya seni iaitu dengan menyusun lagu lagu gamelan sebagai alat untuk menyebarkan ajaran Islam di Jawa. Sebagai contoh lagu Gending Pangkur. Makan beliau adlah di Lamongan. 

Sunan Kalijaga atau Raden Said

Beliau lahir pada 1450 di Kadipaten Tuban, Majapahit. Beliau adalah anak kepada Raden Ahmad Sahuri (Temenggung Wilwatikta/Adipati Tuban VII) dan Dewi Nawangarum(Puteri Raden Kidang Telakas.) Beliau pernah diberi gelaran Lokajaya, Shekh Malaya, Susuhaunan Tuban dan Raden Abdurrahman. Ada pendapat mengatakan bahawa beliau adalah orang Jawa asli berdasarkan sejarah Babad Tuban. Menurut Sejarawan De Graaf mengatakan bahawa beliau berketurunan arab dimana beliau memiliki silsilah Ibnu Abbas, bapa saudara Rasulullah. Beliau berkahwin dengan Dewi Saroh bin Maulana Ishak dan mempunyai 3 putera iaitu Raden Umar Said (Sunan Muria), Dewi Rakayuh dan Dewi Sofiah. 

Menurut penceritaan masyarakat setempat, sebelum beliau menjadi Wali Songo, beliau adalah seorang perompak yang selalu menyamun hasil kerajaan dan orang orang kaya. Hasil rompakannya akan diagihkan kepada orang miskin dan daif. Pada suatu hari, belau terserempak dengan seorang tua yang mempunyai tongkat emas lalu beliau cuba merampas tongkat berkenaan dengan alasan hasil rompakan itu akan diberikan kepada orang miskin. Perkara itu tidak dipersetujui oleh orang tua berkenaan dan berkata Allah s.w.t tidak akan menerima amal yang buruk. Orang tua berkenaan sebenarnya adalah Sunan Bonang. Sejurus selepas itu, Sunan Bonang mengubah pokok di sebelahnya menjadi sepohon pokok emas. Oleh sebab merasa takjub, Raden Said merayu ingin menjadi anak murid Sunan Bonang. Sunan Bonang bersetuju dengan syarat Raden Said perlu menjaga tongkat beliau. Raden Said bersetuju lantas Sunan Bonang mencacakkan tongkatnya di pinggir sungai(kali) di Cirebon. Lalu dengan penuh ketekunan Raden Said pun duduk menjaga tongkat berkenaan sehari demi sehari sehinggalah dia tertidur. Tiga tahun kemudian, Sunan Bonang datang kembali dan menerima Raden Said menjadi anak muridnya dan Raden Said diberi gelaran Sunan Kalijaga kerana ketekunannya menjaga tongkat di tepi Kali(sungai). Namun cerita ini diragui oleh para sejarawan dan ulama kerana tidak masuk akal dan bertentangan dengan ilmu syariat. Tapi pada pandangan aku tiada apa yang yang tidak masuk akal jika itu adalah kehendak Allah s.w.t. Wallahuallam. Sunan Kalijaga banyak berdakwah menggunakan seni seperti seni ukiran, wayang kulit, gamelan dan seni suara suluk. Beliau dimakamkan di Desa Kadilangu berhampiran dengan Kota Demak.


Sunan Gunung Jati atau Syarif Hidayatullah

Lahir pada 1448 adalah anak kepada pasangan Syarif Abdullah Umdatuddin bin Ali Nurul Alam dan Nyai Rara Santang, Putri Baduga Maharaja Prabu Siliwangi dari Kerajaan Padjajaran yang telah memeluk agama Islam dan menukar namanya kepada Syarifah Mudaim. Beliau sampai di Cirebon pada 1470 Masehi dan menjadi Raja Cirebon ke-2 pada tahun 1479 dengan gelaran Maulana Jati. Datuk beliau adalah seorang penguasa Mesir, putera dari Ali Nurul Alim bin Jamaluddin Akhbar Al Husaini, keturunan daripada Sayyid Abdul Malik Azmatkhan. Dikenali sebagai Sunan Gunung Jati kerana dimakamkan di Bukit Gunung Jati. 

Sunan Kudus atau Sayyid Ja'afar Shadiq Azmatkhan

Beliau adalah anak kepada Sunan Ngudung dan Syarifah Ruhil atau Dewi Ruhil (anak Sunan Ampel). Bapanya adalah putera sultan dari Palestin yang bernama Sayyid Fadhal Ali Murtazha yang berhijrah ke Tanah Jawa sehingga diangkat menjadi panglima perang Kesultanan Islam Demak.

Nama Ja'afar Sadiq diambil dari nama datuknya yang bernama Ja'afar Shadiq bin Muhammad Al Baqir bin Ali bin Husain bin Ali bin Abi Thalib menantu Rasulullah. Sunan Kudus bukanlah berasal dari Kudus kerana beliau berasal dari Al-Quds Palestin yang kemudian merantau bersama datuk,ayah dan saudara lain ke Tanah Jawa. Beliau adalah keturunan ke-24 daripada sisilah Rasulullah.


Masjil Al Manar atau Masjid Al Aqsa Manarat Qudus adalah sebuah masjid yang berada di Kabupaten Kudus Jawa Tengah. Bangunan masjid ini mempunyai percampuran senibena Islam, Hindu dan Buddha adalah peninggalan Sunan Kudus di Bumi Jawa.

Beliau meninggal dunia pada 1500N ketika mengimamkan solat subuh di Masjid Menara Kudus dalam posisi sujud. Beliau kemudian dimakamkan di kawasan masjid tersebut. 


Sunan Muria atau Raden Umar Syahid atau Raden Prawoto

Anak kepada Sunan Kalijaga dan Dewi Siroh, puteri kepada Maulana Ishak. Anak saudara kepda Sunan Giri kerana Maulana Ishak adalah ayah kepada Sunan Giri. Beliau berkahwin dengan Dewi Sujinah, puteri kepada Sunan Ngudung dan memperolehi putera bernama Pangeran Santri. Beliau juga berdakwah menggunakan kesenian dan kebudayaan. Nama Sunan Muria berasal daripada nama Gunung Muria yang terletak di sebelah Kota Kudus Jawa Tengah tempat beliau dimakamkan. 

Tahukah Anda?

Kerajaan Demak dicatatkan pernah membantu Kesultanan Melayu Melaka untuk memerangi Portugis di bawah pemerintahan Pati Unus sehingga beliau dan Putera I dan Putera III gugur di medan pertempuran. Hanya Putera II sahaja yang kembali ke Jawa untuk memperkukuhkan kekuatan kerajaan Islam di sana.


Pandangan Aku

Ramai tokoh ilmuan berasal dari tanah arab yang datang ke Nusantara. Hasil daripada dakwah ini terhasillah Wali Songo kerana penyebaran ajaran Islam di Tanah Jawa sehingga tertubuhnya Kerajaan Islam Demak di sana yang telah menggulingkan Kerajaan Majapahit. Rakyat di Indonesia lebih fanatik jika mendalami sesuatu perkara dan ini membuatkan populariti Wali Songo itu lebih besar daripada tokoh ilmuan yang lain yang datang ke Kepulauan Melayu walhal ada di antara Wali Songo ini yang berguru dengan mereka. Antara tokoh yang saya maksudkan adalah Sultanul Ariffin Sheikh Ismail bin Sayyed Ibnu Jabbar yang dimakamkan di Pulau Besar Melaka. Saya akan kupas mengenai tokoh ini di entry yang akan datang. 

Seperti kembiasaan ulama lainnya Wali Songo ini pada zaman mudanya menghabiskan masa mereka belayar untuk menuntut ilmu dan menyebarkan ajaran Islam di seluruh pelosok nusantara.

So sampai di sini sahaja entry aku pada kali ni dan jika ada tersalah fakta atau kecelaruan minda yang berlaku disebabkan penulisan saya, saya mohon maaf dan sebagai manusia biasa kita tidak terlepas daripada kesilapan... segala baik dan buruk semuanya adalah datang daripada yang maha Esa.. Wallahuallam.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan